Jokowi enggan laksana perintah berkurung

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo mengisytiharkan kecemasan di Indonesia berikutan pandemik Covid-19 namun, sehingga kini enggan menjalankan perintah berkurung di republik berkenaan.

Pentadbiran Jokowi dikritik hebat kerana tidak mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung di bandar utama Indonesia termasuk Jakarta yang mencatatkan kes tertinggi Covid-19.

Kerajaan Indonesia juga mengumumkan AS$1.5 bilion bantuan sosial dan subsidi untuk mereka berpendapatan rendah.

“Untuk mengatasi impak Covid-19, kami memilih untuk menjalankan penjarakan sosial dalam skala besar.

“Kita perlu belajar dari pengalaman negara lain namun, kita tidak boleh mengikut setiap langkah yang dibuat kerana setiap negara mempunyai ciri-ciri tersendiri,” katanya.

Sehingga kini, 136 individu maut akibat wabak berkenaan dengan 1,528 kes jangkitan positif.

Namun, angka berkenaan diragui kerana banyak pihak berpendapat jumlah kes yang dilaporkan jauh lebih rendah berbanding angka sebenar.

Gabenor Jakarta berkata, hampir 300 mangsa disyaki dan sah positif Covid-19 dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera di bandar berkenaan sejak awal Mac lalu.