Jokowi pertahan Undang-Undang Cipta Kerja

Jakarta: Selepas menanti kenyataannya berkaitan Undang-Undang Cipta Kerja, Presiden Indonesia, Joko Widodo akhirnya membuka mulut untuk membincangkan mengenai undang-undang berkenaan.

Ia disampaikan Jokowi dalam kenyataan media di Istana Bogor, hari ini.

Jokowi menjelaskan bahawa faktor utama kerajaan mencadangkan undang-undang berkenaan adalah untuk membuka peluang pekerjaan baharu di Indonesia.

“Mengapa kita perlukan undang-undang ini? Pertama, setiap tahun terdapat 2.9 juta penduduk mula bekerja, anak muda yang baru masuk ke pasaran pekerjaan.

“Ini menjadikan keperluan untuk pekerjaan baharu sangat mendesak. Jumlah pengangguran terus meningkat tertama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi rakyat.

“Di tengah pandemik ini, sekitar 6.9 juta pengangguran dilaporkan dan 3.5 juta lagi terjejas akibat Covid-19,” katanya seperti dilaporkan Kompas.

Bantahan terhadap Undang-Undang Cipta Kerja menyaksikan ibu kota Indonesia terus bergolak hari ini dengan dianggarkan ribuan pekerja dan mahasiswa memenuhi jalan utama di sekitar Jakarta.

Sejak Isnin lalu, beberapa siri protes diadakan di seluruh negara sehingga ada penunjuk perasaan cedera kerana bertempur dengan pasukan keselamatan.

Penunjuk perasaan menyasarkan beberapa kawasan utama termasuk Istana Presiden dan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta Pusat.

Anggota keselamatan dilihat bersedia dengan gas pemedih mata dan meriam air sekiranya tunjuk perasaan bertambah agresif selain pagar berduri diletakkan di kawasan tumpuan bagi mengelak kemasukan penunjuk perasaan.

Ratusan anggota keselamatan ditempatkan di sekitar Istana Presiden dan kawasan berhampiran.

Undang-undang baharu yang diluluskan Parlimen Indonesia Isnin lalu itu dianggap penting untuk menarik pelabur asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membantu negara susulan krisis dicetuskan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, majoriti membantah undang-undang itu dilaksanakan kerana didakwa menafikan banyak faedah serta kepentingan untuk golongan pekerja.

Antara lain, undang-undang baharu itu membenarkan syarikat menggaji pekerja secara kontrak terbuka atau tanpa sebarang tempoh khusus tetapi memberikan perlindungan insurans bagi pekerja sektor awam.

Menurut pengkritik, ia menggalakkan pengambilan pekerja secara tidak rasmi dan melemahkan hak asasi mereka selain didakwa mengurangkan aspek perlindungan alam sekitar.