Jong Un ‘terjaga’ dari koma?

Seoul: Media Korea Utara pada Rabu memaparkan gambar terbaharu pemimpin negara itu, Kim Jong Un dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi berhubung Covid-19 dan ancaman taufan.

Ia seakan bagi menolak spekulasi yang mengatakan bahawa Jong Un kini berada dalam keadaan koma dan adik perempuannya, Kim Yo Jong mengambil alih pentadbiran.

Menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, Jong Un pada mesyuarat berkenaan menilai kelemahan langkah diambil untuk mengekang penularan Covid-19 di negara itu.

Akhbar Korea Utara, Rodong Sinmun memaparkan Jong Un menyampaikan ucapan pada mesyuarat itu memakai sut putih dengan satu lagi gambar menunjukkan pemimpin itu menghisap rokok.

Jong Un turut menggesa supaya langkah lebih ketat dilaksanakan bagi mengatasi kelemahan berkenaan, lapor KCNA.

Spekulasi mengenai keadaan kesihatan pemimpin Korea Utara itu kembali menjadi tajuk akhbar dan perbincangan media antarabangsa, hujung minggu lalu.

Ia selepas media Korea Selatan yang memetik kenyataan bekas pembantu bekas presiden negara itu, Kim Dae Jung iaitu Chang Song Min yang mengesyaki Jong Un mungkin koma.

Selain itu, Chang yang berkhidmat dengan Dae Jung sebagai setiausaha hal ehwal politik berkata, beliau menganggap semua foto Jong Un dikeluarkan oleh media negara itu, sejak kebelakangan ini sebagai palsu.

Kali terakhir Jong Un dilihat di khalayak umum adalah ketika mempengerusikan mesyuarat parti pada 11 April.

Selepas kira-kira tiga minggu, KCNA menyiarkan foto pemimpin itu merasmikan pembukaan kilang baja di negara itu pada 2 Mei.

Dalam pada itu, Korea Utara sebelum ini melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) di Kaesong, bandar yang berhampiran dengan Korea Selatan bagi mengekang Covid-19.

Ia selepas pihak berkuasa negara itu mendakwa seorang rakyatnya yang melarikan diri ke Korea Selatan dan pulang ke negara itu disyaki positif virus itu.

Perintah itu sudah ditarik balik, namun sehingga kini, tiada pengesahan mengenai kes Covid-19 membabitkan individu berkenaan di negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19