Jual 34 pesawat

Bangkok: Syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways International (THAI) yang muflis dilaporkan mahu menjual 34 pesawat miliknya meliputi jenis Boeing dan Airbus.

Bangkok Post melaporkan syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berharap ada pihak mahu membeli pesawat terbabit sebelum hari ini (semalam).

Pesawat Boeing yang disenaraikan untuk dijual di laman sesawangnya termasuk 10 Boeing 747-400 yang dibuat antara 1993 dan 2003, enam Boeing 777-200 (1996 dan 1998), enam Boeing 777-300 (1998 dan 2000) dan dua Boeing 737-400 (1992 dan 1993).

Ia turut menawarkan enam Airbus A340-600 (2005 dan 2008), tiga A340-500 (2005 dan 2007) dan satu Airbus A300-600 dibuat pada 1993.

Syarikat itu dalam kenyataan sama berkata, pihaknya menjangka dapat menghantar pesawat berkenaan kepada pembeli menjelang suku kedua tahun depan.

Selain itu, tarikh akhir bagi mereka yang berminat membeli pesawat berkenaan adalah semalam.

Dalam pada itu, THAI tidak menyertakan butiran lain mengenai penjualan pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, ia dipercayai sebahagian rancangan bagi memodenkan pesawatnya.

Media sebelum ini melaporkan masalah kewangan THAI sejak beberapa tahun lalu, menjadi parah akibat penularan pandemik Covid-19.

Syarikat itu sebelum ini mendapat perintah mahkamah bagi perlindungan kebankrapan sekali gus membolehkan ia melaksanakan pelan pemulihan.

Berdasarkan laman sesawang Bursa Saham Thailand, THAI sebelum ini dilaporkan menanggung beban hutang 332 bilion Baht (kira-kira RM45 bilion).

Susulan itu, pelbagai langkah dilaksanakan termasuk mengurangkan tenaga kerja dengan hampir 5,000 kakitangan mengambil opsyen skim persaraan awal.

Dalam pada itu, ketika banyak syarikat penerbangan terpaksa merehatkan pesawat kerana Covid-19, THAI mengambil langkah kreatif dengan membuka restoran di sini bagi menjual hidangan dalam pesawat.

Berikutan sambutan menggalakkan, syarikat itu berhasrat memperkembangkan francais restoran berkenaan.