Jual gelang bantu golongan terjejas

MINNESOTA: Ketika tunjuk perasaan dan demonstrasi susulan kematian George Floyd memasuki minggu ketiga, enam kanak-kanak Minneapolis di sini, mengambil pendekatan berbeza dalam menyampaikan mesej berkaitan.

Mereka menjual gelang tangan berwarna-warni yang dibuat sendiri dan hasil kutipan disalur kepada masyarakat memerlukan serta golongan peniaga kulit hitam terkesan dengan tunjuk perasaan di bandar itu.

Kamryn Johnson, 9, yang juga anak bekas pemain NFL, Ron Johnson berkata, dia dan rakannya menamakan inisiatif itu sebagai Kamryn & Rakan: Gelang untuk Penyatuan dan Keadilan.

Kanak-kanak itu membuka khemah dan meja pada 30 Mei lalu di laman rumahnya di Chanhassen dan menampal papan tanda besar serta berwarna-warni untuk menarik perhatian.

Gelang dijual pada harga AS$1 (RM4.26) hingga AS$5 (RM21.31) bergantung kepada corak dan jenis tali digunakan, malah penderma boleh memilih antara corak ringkas serta kombinasi warna dan varieti neon dan bercahaya dalam gelap.

“Setakat ini mereka yang menderma beri lebih daripada harga ditetapkan. Ada yang beri AS$10 (RM42.61), AS$20 (RM85.23) dan AS$50 (RM213.07).

KAMRYN Johnson (kanan) bersama dua rakannya yang menjual gelang. FOTO Agensi.
KAMRYN Johnson (kanan) bersama dua rakannya yang menjual gelang. FOTO Agensi.

“Ada seorang lelaki menderma hingga AS$100 (RM426.15) untuk satu gelang. Ramai juga begitu,” kata Ron seperti dilapor The Washington Post.

Ron berkata, dia menyangka Kamryn dan rakannya hanya dapat menjual sejumlah kecil gelang dan tidak mampu mengumpul lebih daripada ratusan dolar.

Bagaimanapun, Ron yang juga penganalisis sukan di stesen radio tempatan ada menghebahkan inisiatif itu yang menyebabkan ia tersebar serta turut dilaporkan media tempatan.

Dalam tempoh kurang seminggu, mereka mengumpul AS$40,000 (RM170,460), hasil sumbangan kejiranan dan dalam talian menerusi Venmo dan GoFundMe.

Wang sumbangan itu disalurkan kepada masyarakat setempat termasuk dalam pembelian barang makanan, namun lebih utama ia dimanfaatkan bagi membangunkan semula ekonomi orang kulit hitam yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan rusuhan Floyd.

“Kami benar-benar mahu fokus kepada peniaga kulit hitam, terutama mereka yang dinafikan pampasan insurans akibat rusuhan itu,” katanya.