Jumlah undi petunjuk jelas akan menang – Biden

Washington: Joe Biden berkata, jumlah undi jelas menunjukkan bahawa beliau hampir untuk menewaskan Donald Trump untuk dilantik sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu.

Bernama yang memetik laporan Agensi Anadolu melaporkan bahawa calon Parti Demorat itu hampir pasti untuk menguasai Rumah Putih meskipun pengiraan undi di beberapa negeri utama masih berlangsung.

“Angka memberikan petunjuk jelas dan meyakinkan bahawa kita akan menang perlumbaan ini.

“Undi kita semakin meningkat. Kita menewaskan Donald Trump dengan kelebihan empat juta undi, dan margin itu juga semakin membesar,” kata Biden.

Bekas naib presiden itu merujuk kepada jumlah undi diperolehi di beberapa negeri yang bukan sahaja sudah menyamai undi diperolehi Trump, malah ada yang sudah mengatasi jumlah undi presiden berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa negeri utama masih menjalankan pengiraan undi pos yang idterima sebelum atau pada hari pengundian pada 3 November laluu.

Negeri berkenaan termasuk Pennsylvania, yang memiliki 20 undi elektoral di mana Biden kini mendahului Trump dengan 29,000 undi.

Di Georgia, Biden mendahului Trump dengan majoriti tipis iaitu hampir 4,400 undi tetapi ia dilaporkan semakin meningkat.

Sementara itu, Biden kekal mendahului di Nevada dengan majoriti dua peratus.

Kemenangan di salah satu negeri terbabit akan membolehkan Biden memperoleh 270 undi elektoral untuk menguasai Rumah Putih.

Bagaimanapun, Trump yang kini mempunyai 214 undi elektoral masih boleh menang, tetapi berdepan laluan lebih sukar untuk mencapai undi 270 undi elektoral.