Jumpa cincin selepas 27 tahun

Atlanta: Seorang lelaki di Georgia gembira selepas menemui semula cincin kesayangan yang ‘terpisah’ selama 27 tahun.

Cincin milik Buster Kast itu diperoleh ketika dia menuntut di sekolah menengah pada awal 90-an.

Menurut laporan upi.com, dia kehilangan cincin itu ketika bercuti bersama keluarganya beberapa tahun selepas menamatkan persekolahan.

“Kali terakhir saya memakai cincin itu ketika bercuti di St Augustine dan ketika itu, kami sekeluarga menyewa kereta,” katanya.

Namun dia bernasib baik apabila seorang lelaki, Chance McDonald menemui kembali cincin itu ketika mencuci kereta yang dibelinya daripada syarikat kereta sewa.

Katanya, ketika mencuci kereta berkenaan, dia menemui sebentuk cincin, namun tidak mengetahui siapa pemiliknya.

“Maklumat yang ada pada cincin itu adalah nama sekolah, sebelum saya cuba mencari pemiliknya.

“Saya menggunakan Facebook dan akhirnya menemui Kast yang mengakui itu adalah pemilik cincin berkenaan,” katanya.

Kedua-dua lelaki itu kemudian bertemu dan McDonald menyerahkan cincin berkenaan kepada Kast.

“Saya sangat gembira menemui semula cincin yang sangat bermakna dalam hidup ini,” katanya.