Jurufoto obses nama anak jenama kamera

NEW DELHI: Gara-gara terlampau obses dengan kamera, seorang lelaki menamakan tiga anaknya dengan jenama terkenal produk itu iaitu Canon, Nikon dan Epson.

Oddity Central melaporkan, lelaki bernama Ravi Hongal, 49, turut menetap di rumah tiga tingkat dengan reka bentuk kamera gergasi.

Difahamkan, Ravi jurugambar profesional dari Belgaum, India dan tampil dengan idea unik bagi menunjukkan minat mendalamnya dalam seni fotografi.

Ravi membelanjakan wang yang besar untuk mengubah suai rumah dengan reka bentuk lensa kamera dan kad SD gergasi.

Menurut berita dalam blog All About Belgaum, Ravi obses dalam seni fotografi sejak kecil. Biarpun bukan pelajar cemerlang, dia yakin mampu meneruskan hidup sebagai jurugambar.

lmpian lelaki itu menjadi nyata apabila membuka studio digelar Rani, yang juga nama isterinya.

Bertitik tolak dari situ, Ravi semakin obses sehingga tiga anak lelakinya turut diberi nama dengan jenama kamera terkemuka.

Kediaman Ravi Hongal yang kelihatan unik turut dipamerkan dalam satu saluran di YouTube.