Jutawan pertama sekelip mata

Dar es Salaam: Seorang pelombong di Dodoma, Tanzania kini tersenyum lebar apabila dua bongkah batu permata Tanzanite seberat 15 kilogram (kg) berjaya dijual pada harga AS$3.4 juta (kira-kira RM14.5 juta).

Saniniu Laizer, 52, bergelar jutawan ‘sekelip mata’ selepas batu yang dilombongnya itu dijual kepada Kementerian Perlombongan negara berkenaan.

Portal berita BBC melaporkan, batu Tanzanite itu dipercayai antara saiz terbesar yang ditemui di Tanzania setakat ini.

“Kita adakan parti besar-besaran esok,” kata bapa kepada 30 anak itu kepada BBC.

Tanzanite hanya boleh ditemui di utara negara berkenaan dan digunakan untuk membuat batu perhiasan mewah.

Ini antara batu permata paling jarang dijumpai di bumi dan seorang ahli geologi tempatan menganggarkan bekalannya akan habis dalam tempoh 20 tahun.

Disebabkan itu, batu permata berkenaan sering menjadi buruan pelombong kerana harga dan permintaan yang tinggi kerana kualiti serta warnanya yang unik.

Laizer menemui batu permata itu masing-masing seberat 9.2 kg dan 5.8 kg minggu lalu sebelum menjualnya pada sesi dagangan di Manyara.

Presiden Tanzania, John Magufuli menghubungi Laizer untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan menemui batu permata itu.

“Batu ini memberi manfaat kepada pelombong kecil-kecilan dan membuktikan Tanzania negara yang kaya,” kata Magufuli.

Laizer merancang untuk melaburkan wangnya bagi membantu komuniti di Simanjiro di samping akan mengadakan majlis keramaian bagi meraikan kejayaan itu.