Kampung bebas asap rokok

Jambi: Sebuah kampung bernama Desa Maro Sebo di sini, menguatkuasakan larangan merokok dalam kalangan penduduknya sejak dua tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan penduduk kini hidup dalam keadaan lebih selesa dan sihat.

Menerusi laporan portal Kompas.com, peraturan itu tidak membenarkan penduduk merokok di kawasan rumah, sekolah, tempat kerja dan majlis tertutup.

Mereka hanya dibenarkan merokok di luar kawasan berkenaan kerana tidak mahu menyebabkan orang lain berasa tidak selesa.

Ketua kampung berkenaan, Muhammad Rusli berkata, sebelum ini penduduk sering merokok di kawasan tertutup seperti rumah dan kedai makan.

Namun kini mereka terpaksa merokok di luar sekali gus menyebabkan bilangan perokok semakin berkurangan.

“Sebelum ini asap rokok akan memenuhi ruang rumah, kedai dan pesta tertutup namun kini tiada lagi.

“Penduduk juga tidak dibenarkan untuk merokok di dalam rumah sendiri,” katanya.

Bagi peniaga air, Aminah, 40, peraturan itu membantu dia sekeluarga hidup dalam keadaan lebih sihat berbanding sebelum ini.

“Suami saya sebelum ini menghabiskan sehingga empat kotak rokok sehari tapi sejak peraturan dilaksanakan jumlah itu sudah berkurangan dan wang belanja juga boleh dijimatkan,” katanya.