Kanak-kanak hilang disorok bunian?

Sumatera Utara: Kes kehilangan tiga kanak-kanak di sini, yang menjadi kontroversi di Indonesia mencetuskan perbalahan antara pihak polis dan bomoh sehingga pihak berkuasa melarang semua aktiviti paranormal di daerah itu kononnya untuk memulihkan ketenangan.

Sub Inspektor Polis Sukadi, ketua pasukan perisik yang menyelaras pencarian kanak-kanak itu memberitahu ‘This Week in Asia’, ramai penyiasat paranormal dari seluruh Indonesia berkunjung ke Kampung Naman Jahe di Langkat untuk membantu pencarian.

“Sudah tiga minggu mereka mengadakan ritual, tetapi satu pun tidak mendatangkan hasil. Ia boleh menyebabkan ibu bapa kanak-kanak itu mengalami trauma psikologi kerana bomoh terbabit sering merakam peristiwa itu (ritual) dan memuat naik ke saluran Youtube masing-masing,” katanya seperti dilaporkan SCMP.com.

Tiga kanak-kanak itu, Alfisah Zahra, dan Nizam Aufar Reza masing-masing berusia tujuh tahun serta Yoghi Tri Herlambang, 8, hilang selepas bermain berhampiran rumah mereka, sejak 18 Oktober.

IBU tiga kanak-kanak yang hilang sejak 18 Oktober lalu. FOTO Agensi.
IBU tiga kanak-kanak yang hilang sejak 18 Oktober lalu. FOTO Agensi.

Masdiani, ibu kepada Zahra berkata, dia mula mencari anaknya bagi meminta mereka pulang untuk mandi dan makan tengah hari.

Menurutnya, apabila anaknya dan dua kanak-kanak lelaki berkenaan tidak ditemui dia menganggap mereka ke tasik lokasi biasa kanak-kanak sering berenang, namun tidak ditemui.

Ahli keluarga kanak-kanak itu dan jiran kemudian meneruskan pencarian sebelum memaklumkan kepada pihak polis mengenai kehilangan mereka pada petang hari kejadian.

Sebaik kejadian itu tersebar, sejumlah bomoh dari daerah itu tampil melakukan pelbagai ritual di lokasi terakhir kanak-kanak itu dilihat termasuk dalam ladang kelapa sawit dan tasik.

“Mereka memaklumkan kanak-kanak itu dibawa bunian ke dalam hutan dan disembunyikan di situ.

“Kami percaya mungkin mereka diculik, tetapi kami lebih percaya kepada teori bunian,” kata Susilawati, ibu kepada Yoghi.

Pada mulanya, hanya bomoh tempatan atau lebih dikenali sebagai dukun terbabit dalam aktiviti pencarian.

Namun, sebaik berita kehilangan mereka disiarkan dalam media arus perdana, ramai bomoh dari seluruh negara mulai tiba ke kampung itu.

Ketua Kampung, Jumaan berkata, terlalu ramai bomoh berada di kawasan itu menyebabkan penduduk tempatan tidak selesa.

“Setiap kali mereka melakukan ritual, penyiasat paranormal meminta pakaian kanak-kanak itu kononnya untuk menyalurkan semangat, sekali gus menemukan kedudukan mereka.

“Akhirnya, pakaian kanak-kanak itu habis hanya untuk memenuhi ritual berkenaan,” katanya.

TASIK lokasi dipercayai tiga kanak-kanak lemas. FOTO Agensi.
TASIK lokasi dipercayai tiga kanak-kanak lemas. FOTO Agensi.

Seorang bomoh dari kampung itu, Supeno berkata, ritual yang dilakukan tidak mendatangkan hasil kerana kebanyakan bomoh berkenaan tidak bersatu hati sehingga menyebabkan ‘semangat’ tempatan marah.

Katanya, dia juga percaya makhluk tempatan yang ‘menjaga’ kawasan itu termasuk bunian dan roh lain enggan bekerjasama kerana tidak gembira apabila berlaku peningkatan aktiviti paranormal.

Bagaimanapun, Sukadi berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu diculik atau mengalami kecelakaan di sekitar kampung itu yang diliputi ladang kelapa sawit dan hutan tebal.

Satu lagi kemungkinan, beliau berkata, kanak-kanak itu mungkin lemas di dalam tasik berdekatan.

Namun, pencarian di dalam tasik sudah tiga kali dilakukan oleh penyelam dari pasukan Basarnas tidak menemui sebarang petunjuk.

“Biasanya mayat akan timbul selepas beberapa hari jika seseorang itu lemas, jadi sepatutnya mereka sudah ditemui jika benar kanak-kanak itu lemas.

“Kami agak terkejut kerana hanya mempunyai sedikit petunjuk dalam kes ini,” katanya.

Pencarian kanak-kanak itu masih diteruskan dan kesemua ibu bapa juga percaya anak-anak mereka masih hidup.