Kapten ‘lesen terbang’!

Karachi: Dianggarkan 40 peratus juruterbang di Pakistan menggunakan lesen penerbangan palsu, kata Menteri Penerbangan, Ghulam Sarwar.

Sarwar mendedahkan perkara itu ketika mengumumkan laporan nahas pesawat Pakistan International Airlines (PIA) PK8303 di sini, bulan lalu, kepada Majlis Nasional Pakistan.

“Pakistan memiliki 860 juruterbang aktif termasuk di PIA, Serene Air dan Air Blue.

“Menerusi laporan satu inkuiri pada inkuiri pada Februari 2019, 262 juruterbang tidak menghadiri ujian atau meminta individu lain menggantikan mereka,” katanya seperti dilaporkan Gulf News.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh ketika siasatan lanjut dijalankan yang mendapati ada antara juruterbang palsu ini langsung tidak mempunyai pengalaman penerbangan.

Katanya, 40 peratus juruterbang palsu itu termasuk mereka yang ‘tidak aktif’ dalam penerbangan.

Tambahnya, ada sesetengah juruterbang dipilih berdasarkan lantikan politik, namun malangnya kelayakan bagi profesion itu diketepikan.

Sarwar berkata, sekurang-kurangnya empat juruterbang PIA didapati palsu seperti dilaporkan media Pakistan.

Tambahnya, kementerian sudah menghantar notis tunjuk sebab kepada 54 juruterbang bagi menjelaskan kedudukan sebenar kelayakan mereka.

“Ada juruterbang sudah mengemukakan permohonan untuk mencabar notis ini di mahkamah. Selain itu, sembilan daripadanya mengaku memalsukan sijil ijazah sarjana muda,” katanya.

Dalam pada itu, laporan nahas pesawat PIA PK8303 mendedahkan ia berpunca daripada kesilapan juruterbang dan menara kawalan.

Ketika kejadian, pesawat membawa 99 penumpang termasuk lapan anak kapal merempuh kawasan perumahan yang padat berhampiran lapangan terbang Karachi pada 22 Mei lalu.

Dua penumpang terselamat dalam nahas sementara 97 penumpang kehilangan nyawa.