Kasih si cucu
SIBERIA: Seorang budak di pedalaman Rusia sanggup berjalan kaki sejauh lapan kilometer demi mendapatkan bantuan perubatan untuk neneknya.
Lebih mengharukan apabila kanak-kanak perempuan bernama Saglana itu baru berusia empat tahun.
Independent.co.uk melaporkan kanak-kanak itu terpaksa berbuat demikian selepas mendapati neneknya tidak sedarkan diri.
Selain itu, datuknya sudah buta, manakala ibu dan bapa tirinya mengembala binatang ternakan di tempat lain di wilayah sama.
Dia tidak mempunyai pilihan selain berjalan kaki dalam keadaan suhu di paras bawah beku untuk ke kampung berdekatan.
Sepanjang perjalanan, Saglana mengharungi salji tebal di kawasan yang dikelilingi serigala dan beruang.
Akibat suhu sejuk melampau iaitu -26 darjah Celsius, dia menghadapi hipotermia, sebelum ditemui oleh penduduk kampung.
Mereka kemudian menghubungi kakitangan perubatan yang kemudian mengesahkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.
Saglana dan pasukan berkenaan kemudian kembali ke rumahnya.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila wanita yang menjaganya itu disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian, pihak berkuasa menyiasat ibu kanak-kanak itu kerana disyaki melakukan pengabaian.