Kasut khas untuk ‘pijak’ Trump, Macron

Ramallah, Palestine: Seorang tukang kasut Palestine, Imad Mohammad membuat kasut dengan tanda nama dua pemimpin dunia, presiden Amerika Syarikat (AS) dan Perancis dalam kaligrafi Arab sebagai tanda menolak kedua-dua individu berkenaan.

“Kasut menjejak tanah, habuk dan kekotoran. Jika kita menulis nama seseorang pada kasut, ia juga akan kotor.

“Ia menandakan bagaimana kita menilai individu itu,” katanya kepada AFP.

Katanya, dia memilih untuk meletakkan nama Donald Trump dan Emmanuel Macron kerana kedua-dua pemimpin itu ‘mengganggu orangnya’.

Pada asalnya, tukang kasut itu yang mempunyai kedai di Ramallah, melancarkan rekaan khas untuk Trump.

Ia adalah selepas Trump memindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis pada Mei 2018.

Langkah itu dibuat setahun selepas Trump mengakui Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel yang seterusnya mengundang kemarahan rakyat Palestin.

Kasut berkenaan yang tertera nama presiden AS itu dihasilkan dengan kos AS$50 dan diperbuat daripada kulit asli di dalam dan luar.

“Kulit yang digunakan adalah asli, lebih asli berbanding dia (Trump),” katanya.

Minggu ini, Imad mendapat idea untuk menghasilkan satu lagi rekaan selepas tindakan Macron yang menyokong penerbitan karikatur Nabi Muhammad SAW.

“Kenapa Macron? Kenapa menyerang seorang nabi yang sudah wafat 1,500 tahun lalu.

“Saya sebagai orang Islam menolak penghinaan ini. Dia perlu memohon maaf kepada orang Islam, negara Islam,” katanya.

Mana-mana pelanggan AS dan Perancis yang memasuki kedainya tetap disambut namun dia menuntut mereka meminta maaf atas kata-kata dan perbuatan presiden mereka.

Orang Perancis diberitahu bahawa mereka hanya boleh masuk ke kedai itu jika mereka meminta maaf atas kenyataan Macron.

Pelanggan warga AS diminta untuk meminta maaf atas pengakuan Trump terhadap Baitulmuqaddis dan perpindahan kedutaan.