Kayuh 105km kerana anak

MUMBAI: Seorang bapa di Madhya Pradesh sanggup mengayuh basikal sejauh 105 kilometer (km) demi menghantar anaknya ke sebuah pusat peperiksaan, Isnin lalu.

Shobhram yang berusia 38 tahun itu membawa anaknya Ashish, 15, ke pusat peperiksaan berkenaan menggunakan basikal selepas perkhidmatan pengangkutan awam dihentikan sementara waktu berikutan Covid-19.

Menerusi portal berita dnaindia.com, dua beranak itu bergerak dari kampung mereka di Baydipur di Manawar dan perlu sampai ke pusat peperiksaan yang mengambil masa lapan jam perjalanan.

“Kami tidak berkemampuan dan tiada pilihan lain selain menggunakan basikal untuk sampai ke pusat peperiksaan kerana mahu dia berjaya dan tidak buta huruf seperti saya.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh di beberapa lokasi untuk mengumpul wang bagi membolehkan dia melanjutkan pelajaran. Kami mulakan perjalanan pada pagi Isnin lalu,” kata Shobhram.

Beliau berkata, mereka juga dibekalkan sedikit makanan untuk mengalas perut sepanjang perjalanan ke pusat peperiksaan itu.

Ashish berkata, dia bercita-cita untuk menjadi pegawai kerajaan dan mereka yang tidak lulus pada ujian peringkat pertama boleh menjalani semula ujian ulangan yang dianjurkan kerajaan Madhya Pradesh.

Pihak pentadbiran daerah Dhar kemudian menyediakan tempat tinggal di sebuah asrama dan bantuan makanan kepada dua beranak itu sehingga Isnin ini.