Ke mana Ivanka selepas bapa tewas?

Washington: Anak perempuan sulung Donald Trump, Ivanka Trump bukan saja perlu menerima kekalahan bapanya di tangan Joe Biden, malah kini kehilangan kerja.

Di Rumah Putih, Ivanka penasihat kepada Presiden dengan fokus kepada pendidikan serta pemerkasaan ekonomi wanita dan keluarga dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui latihan kemahiran dan keusahawanan.

The Guardian melaporkan sebelum berkhidmat dalam pentadbiran negara, wanita itu menggalas tugas penting di syarikat hartanah bapanya, The Trump Organization dan memiliki perniagaan fesyen.

IVANKA. FOTO AFP
IVANKA. FOTO AFP

Dia juga muncul sebagai juri jemputan dalam rancangan realiti, The Apprentice.

Tetapi peranannya di Rumah Putih dan hakikat hampir keseluruhan kerjaya mempunyai kaitan dengan bapanya menimbulkan persoalan apa yang akan dilakukan wanita itu selepas ini.

Ivanka mungkin kembali ke The Trump Organization dan ia bukan tempat kerja paling stabil selepas ayahnya meninggalkan pejabat.

Pejabat peguam Manhattan meminta penyata cukai Trump dalam ‘penyiasatan kewangan rumit’, yang sebelumnya menyebut laporan umum mengenai salah laku dan jenayah berlarutan di situ.