Kebas pencen datuk langgan PUBG

New Delhi: Terlalu obses kepada PUBG mendorong seorang remaja di India memindahkan wang pencen datuknya berjumlah 2.3 lakh (RM12,931) bagi melanggan permainan video dalam talian itu.

Gulf News melaporkan, datuk remaja itu hanya mengetahui wangnya hilang selepas menerima mesej di telefon bimbit memaklumkan 2,500 rupee (RM141) ditolak dari akaunnya dengan baki hanya tinggal 275 rupee (RM15.46).

Warga emas itu menghubungi pihak bank selepas mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

Dalam laporan polis dibuat, lelaki itu berkata dia tidak membuat sebarang pemindahan dan tidak pernah menerima kata laluan sekali guna (OTP).

Berdasarkan portal agensi berita di India, Jabatan Siber Polis New Delhi mengesahkan, remaja lelaki itu memindahkan wang pencen dari akaun datuknya sebelum menggunakan wang itu untuk membiayai pembelian aplikasi dalam akaun permainan PUBG miliknya.

“Polis menjejaki wang itu dipindahkan ke Paytm (dompet mudah alih) atas nama akaun cucu lelaki itu, Pankaj Kumar berusia 23 tahun.

“Selepas disoal siat, Kumar memaklumkan seorang rakannya meminta ID dan kata laluan akaun Paytm miliknya.

“Polis mendapati individu yang kononnya menggunakan akaun Kumar untuk membuat pembayaran di Google Play untuk melanggan PUBG itu adalah remaja itu sendiri,” kata jabatan itu.

Remaja itu ditahan dan dia mengaku memindahkan sejumlah wang dari akaun milik datuknya untuk melanggan permainan dalam talian itu.