Kebumi sebelah pusara ibu

MINNESOTA: Ratusan penduduk dan ahli keluarga menghadiri majlis penghormatan terakhir George Floyd di Houston, Texas sebelum mendiang disemadikan di sebelah pusara ibunya, Larcenia Floyd.

Lelaki berusia 47 tahun itu dikebumikan, semalam di tanah perkuburan Houston Memorial Gardens selepas 24 jam sesi itu berakhir.

Sejak minggu lalu, majlis penghormatan sama diadakan di Minneapolis dan Reaford, North Carolina, iaitu tempat dia dilahirkan.

Mendiang yang mati dibunuh polis berkulit putih pada 25 Mei lalu, diangkat menjadi ikon global dalam perjuangan menentang keganasan polis dan perkauman.

Berketinggian 1.93 meter, lelaki itu dikenali sebagai ‘raksasa kecil’ dalam kalangan keluarga dan rakan, adalah pemuzik rap serta atlet mengalami masalah dengan perundangan dan ketagihan, tetapi sentiasa mahukan terbaik buat anaknya.

Ibunya yang disebut ketika dia menderita ditekan di leher dalam insiden malang itu berpindah ke Houston selepas Floyd dilahirkan pada 1973 di North Carolina.