Keluarga mangsa Covid-19 tuntut keadilan

Bergamo, Itali: Seramai 50 ahli keluarga mangsa Covid-19 memfailkan aduan mengenai cara pengendalian pandemik berkenaan.

Ia adalah tindakan kumpulan undang-undang pertama di Itali yang merekodkan lebih 34,000 kematian akibat virus berkenaan.

“Kami bukan mahu membalas dendam, tetapi mahukan keadilan,” kata Stefano Fusco yang menubuhkan satu kumpulan di Facebook bagi mengumpulkan individu lain berdepan situasi sama sepertinya yang kehilangan datuknya akibat virus berkenaan di satu rumah penjagaan orang tua Mac lalu.

Aduan berkenaan difailkan di pejabat pendakwa raya di Bergamo, bandar di utara Itali yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.

“Ia (bandar Bergamo) adalah simbol tragedi ini walaupun mereka (mangsa Covid-19) berasal dari seluruh negara,” katanya.

Pendakwa raya Bergamo sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan krisis kesihatan yang berlaku.

Penduduk tempatan menyalahkan kelewatan dalam menggerakkan zon merah, selain pemotongan belanjawan kesihatan di seluruh wilayah Lombardy sejak beberapa tahun lalu.

Cristina Longhini, 39, seorang ahli farmasi kehilangan bapanya, Claudio, 65.

Walaupun bapanya tenat ketika itu, namun perkhidmatan kecemasan enggan memasukkannya ke hospital kecuali jika berdepan kesukaran bernafas, katanya.

Bapanya juga pernah dikejarkan ke hospital Covid-19 di Bergamo namun, tiada katil kosong di unit rawatan rapi.

Keluarganya diminta mencari sendiri katil kosong di unit rawatan rapi di hospital lain, namun gagal.

“Mereka juga terlupa menghubungi kami untuk memaklumkan bapa sudah meninggal dunia.

“Saya pergi ke hospital untuk pengecaman namun, bapa sukar dikenali.

“Mereka memberikan barangan peribadi bapa dalam beg sampah termasuk pakaian berdarah,” katanya.

Dalam keadaan tanah perkuburan yang sesak, keranda bapanya dihantar menggunakan trak tentera bersama beberapa puluh mayat lain.

Keluarga hanya mengetahui di mana keranda itu dibawa selepas menerima bil pengurusan pengebumian di lokasi terletak kira-kira 200 kilometer dari tempat mereka menetap.

Loghini berkata, keluarganya memfailkan aduan kerana berasakan ‘krisis itu tidak dikendalikan dengan baik, tiada yang bertanggungjawab dan tiada yang memohon maaf’.

Sehingga kini, 150 lagi aduan sedang disiapkan.