Kematian Covid-19 lebih ramai berbanding kes 9/11
JUMLAH kematian akibat pandemik Covid-19 yang dicatatkan di New York melebihi angka kematian akibat insiden serangan 9/11 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), kata jurucakap kesihatan bandar berkenaan.
Sekurang-kurangnya 3,202 maut akibat Covid-19 di New York setakat ini manakala, angka kematian akibat kejadian 9/11 itu direkodkan 2,753 di bandar berkenaan.
Pada Selasa lalu, New York mencatatkan 731 kematian iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun, Gabenor Andrew Cuomo berkata, purata kemasukan harian ke hospital menurun dalam tempoh tiga hari.
Sementara itu, AFP melaporkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan menuduh organisasi itu sebagai terlalu berpihak kepada China.
Trump berkata, WHO juga pernah memberikan nasihat teruk kepada AS ketika pandemik itu mula dikesan di AS dan merancang menangguhkan dana dari AS untuk pertubuhan berkenaan.
Trump melalui hantaran di Twitter mengatakan: “WHO merosakkan semuanya. Atas alasan tertentu, walaupun dibiayai AS, (WHO) melebihkan China. Kami pertimbangkannya. Kita juga bernasib baik kerana saya menolak saranan mereka membuka pintu sempadan kepada China ketika awal pandemik ini berlaku. Kenapa mereka memberikan saranan tidak patut?”