Kembali ke sekolah

JUTAAN pelajar di Vietnam kembali ke sekolah semalam selepas negara berkenaan mencatatkan tiada rekod jangkitan tempatan bagi Covid-19 selama 17 hari berturut-turut.

Di sekolah yang terletak di barat Hanoi, pelajar sekolah menengah diminta beratur untuk tujuan pengambilan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke kelas masing-masing yang ditinggalkan sejak lebih tiga bulan lalu.

Pham Anh Kiet, 11, berkata, dia gembira dapat kembali ke sekolah kerana bosan berada di rumah.

“Saya berasa selamat apabila memakai penutup mulut dan hidung serta suhu badan diambil. Saya tidak takut dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

Terdapat kira-kira 22 juta pelajar sekolah dan universiti di seluruh Vietnam.

Selepas diminta duduk di rumah bermula hujung Januari lalu, sebahagian pelajar ini kembali ke sekolah minggu lalu namun, mereka yang masih di sekolah rendah dan tadika perlu menunggu beberapa minggu lagi.

Universiti juga mula dibuka minggu ini.

Vietnam mencatatkan 271 kes Covid-19 dengan tiada kematian direkodkan.

Namun, pihak berkuasa melaksanakan langkah berjaga-jaga yang ketat khususnya penjarakan sosial di sekolah di mana pelajar diminta mengekalkan jarak 1.5 meter antara satu sama lain setiap masa dan semua perlu sentiasa memakai penutup muka dan hidung.

Guru besar di Hanoi, Nguyen Xuan Khang mengakui bahawa sedikit sukar untuk mengawal murid yang lebih muda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19