Kempen boikot barangan Perancis

Paris: Sebahagian daripada negara di Timur Tengah dan Afrika Utara menyertai kempen memboikot barangan buatan Perancis.

Ia sebagai bantahan terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang dikatakan menghina Islam.

Macron pada minggu lalu mempertahankan apa yang dikatakan sebagai hak bersuara susulan pembunuhan seorang guru sekolah Perancis kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad.’

Isnin lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyeru negara Islam lain menolak barangan Perancis tetapi hanya beberapa tindakan boikot dilakukan negara di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Menteri Perdagangan Perancis, Franck Riester pada Selasa mengatakan “buat masa ini, boikot ini sangat terhad”.

Di kawasan kejiranan Arab Beit Hanina di timur Baitulmaqdis, terdapat tanda di bahagian keju dan daging sejuk di sebuah pasar raya menunjukkan “produk Perancis sudah ditarik balik”.

Sementara itu, seorang pekerja mengisi troli dengan keju dan mentega untuk membersihkan rak.

“Kami hanya akan meletakkannya kembali selepas Macron meminta maaf,” kata pekerja itu kepada AFP.

Di ibu negara Libya, Tripoli, pekedai mengatakan keputusan untuk memboikot barang Perancis terletak pada pelanggan.

Produk Perancis seperti keju dan mentega sering kali berada di luar julat harga yang mampu dibeli rakyat biasa.

Tetapi di Yaman yang dilanda perang, negara termiskin di Semenanjung Arab, produk Perancis dikeluarkan dari pasar raya di Sanaa.

Barangan buatan Perancis juga ditarik dari beberapa rak pasar raya di Kuwait, Jordan, Qatar dan Mesir.

Namun, demonstrasi terhadap kerajaan Perancis lebih banyak diadakan susulan kenyataan Macron itu.

Peserta demonstrasi yang marah bertindak membakar bendera atau poster Macron, di Libya dan Syria.