Kempen kesedaran untuk ekspatriat

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi melancarkan kempen kesedaran untuk komuniti ekspatriat menggunakan pelbagai bahasa untuk memastikan mesej mengenai bahaya Covid-19 dan langkah pencegahan sampai ke golongan sasar.

Ribuan mesej dalam bahasa Urdu, Hindi, Tagalog, Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris dihantar melalui telefon bimbit dan platform media sosial yang menjelaskan mengenai kepentingan mematuhi peraturan ditetapkan bagi menghentikan penularan virus.

Arab News melaporkan Kementerian Dalam Negeri Saudi (MoI) menghasilkan mesej video untuk ekspatriat mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan selain memberi amaran denda sekiranya melanggar peraturan.

Dr Waquar Ahmad Khan, profesor madya di Jabatan Bahasa dan Terjemahan Universiti Taibah berkata, ketika pandemik ini sedang berlaku, terdapat sebahagian besar ekspatriat gagal mendapatkan maklumat asas mengenai cara menjaga keselamatan diri dan peraturan baharu yang perlu dipatuhi.

“Ini adalah insiatif baik daripada MoI dan Kementerian Kesihatan kerana bahasa ibunda memberikan impak berkesan untuk memastikan seseorang individu terus menerima maklumat yang disampaikan,” katanya.