Kena jel kencing luar bangunan Parlimen

LONDON: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua minggu atas kesalahan kencing di sebelah monumen peringatan seorang anggota polis di luar bangunan Parlimen.

Tertuduh, Andrew Banks, 28, dari Stansted, Essex didapati bersalah kerana membuang air kecil di sebelah monumen yang dibina untuk mengenang Keith Palmer.

Palmer, 48, terbunuh ketika bertugas ketika serangan pengganas berhampiran Parlimen pada Mac 2017.

Banks kemudian menyerah diri kepada polis dan meminta maaf atas kelakuannya.

Hakim Mahkamah Westminster diberitahu dia tidak menyedari kewujudan monumen peringatan itu atau kepentingannya dan mengaku minum 16 liter air pada Jumaat lalu.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Ketua Hakim untuk England dan Wales, Emma Arbuthnot berkata, tindakan tertuduh menimbulkan perasaan jijik.

“Anda bersama sekumpulan penyokong bola sepak yang datang ke Westminster untuk melindungi monumen. Ironinya daripada melindungi monumen, anda membuang air kecil.

“Kerosakan yang ditimbulkan adalah kegusaran dan kejutan yang dirasakan orang ramai yang melihat gambar yang menimbulkan rasa jijik,” katanya.

Arbuthnot berkata, hukuman dikenakan tidak sepadan dengan kemudaratan yang ditimbulkan.

Dia menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari kepada Banks dan dibebaskan lebih awal jika berkelakuan baik.