Kenzo Takada meninggal dunia

Paris: Pereka fesyen terkemuka Jepun yang juga pengasas kepada jenama global Kenzo, Kenzo Takada, 81, meninggal dunia di sini, akibat Covid-19.

Beliau meninggal dunia 50 tahun selepas melancarkan koleksi pertamanya di Paris, yang menjadi tempat tinggalnya sehingga bersara.

Kenzo bersara daripada fesyen pada 1999, enam tahun selepas menjual jenama itu kepada konglomerat mewah, LVMH.

Lahir pada 1939, beliau berasal dari keluarga yang terbabit dengan perniagaan perhotelan tetapi memilih untuk belajar katering, sebaliknya melanjutkan pengajian dalam bidang seni.

Takada muncul pelajar cemerlang di kolej Bunka Gakuen di Tokyo dan kemudian bekerja dengan rangkaian kedai fesyen utama, Sanai.

Sukan Olimpik 1964 akhirnya memberikannya peluang ke Eropah. Ia selepas flat yang disewanya dirobohkan dengan membina stadium.

Dengan menggunakan duit pampasan, beliau menaiki bot kargo ke Marseille dan tiba di Paris pada musim sejuk 1965.

Ketika itu, beliau langsung tidak tahu bertutur dalam bahasa Perancis dan kemudian terpaksa bekerja di kedai dandanan anjing.

Pada 1970, dia menyewa sebuah premis di pasar raya lama, Galerie Vivienne sebelum mempersembahkan

koleksi fesyen pertamanya.

Bagi menjimatkan wang, beliau hanya menggunakan model amatur dan menjemput 20 tetamu termasuk Ketua Pengarang Majalah Elle.

Pengarang berkenaan amat menyukai koleksi itu dan memaparkan rekaan Takada di muka depan majalah berkenaan.

Pada 1980-an, jenama itu sudah terkenal di Paris dengan koleksi pakaian lelakinya dilancarkan pada 1983, sebelum produk minyak wangi pada 1988.

Sejak awal 1980-an, butik Kenzo dibuka di seluruh dunia termasuk kota utama, New York, London, Milan, Tokyo dan Rome,

Ia diikuti Hong Kong, Munich, Venice, Bangkok dan Singapura.