Keputusan kes bunuh Hariri, hari ini
The Hague: Tribunal khas Pertubuhan Bangsa-Bersatu di sini, akan mengumumkan keputusan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri, hari ini.
Ia selepas prosiding keputusan kes itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan dua minggu susulan insiden letupan di Beirut, Lubnan, pada 4 Ogos lalu.
Tribunal Khas untuk Lubnan (STL) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, penangguhan itu sebagai tanda bersimpati dengan mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Empat ahli kumpulan Hizbullah dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan bom berani mati yang membunuh Hariri dan yang lain, pada 2005.
Pembunuhan itu mencetuskan pergolakan di Lubnan selama bertahun-tahun.
Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu di sini dijalankan secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).
Keempat-empat tertuduh dibicarakan atas tuduhan membunuh Hariri dan 21 orang lain, cubaan membunuh 226 mangsa yang cedera dan konspirasi untuk melakukan serangan pengganas.
Mereka termasuk Salim Ayyash, 56, yang didakwa mengetuai serangan bom membabitkan trak dipenuhi bahan letupan yang diletupkan berhampiran konvoi kenderaan yang membawa Hariri pada 14 Februari 2005.
Selain itu, Assad Sabra, 43, dan Hussein Oneissi, 46, didakwa menghantar video palsu kepada saluran Al-Jazeera dengan mereka cerita ada satu kumpulan bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Sedangkan, kumpulan itu tidak wujud.
Seorang lagi tertuduh, Hassan Habib Merhi, 54, dituduh terbabit dengan perancangan serangan berkenaan.
Selain itu, panglima utama kumpulan Hizbullah, Mustafa Badreddine turut didakwa di mahkamah bagi tuduhan sama.
Bagaimanapun beliau dipercayai terbunuh dalam serangan udara Israel di sempadan Lubnan-Syria pada 2016.