Kerat suami depan anak

Moscow: Seorang wanita di Russia tergamak membunuh suaminya dengan kejam sebelum menyimpan organ dalaman lelaki itu dalam peti sejuk.

Mirror.co melaporkan, penyanyi rap, Andy Cartwright ditemui mati selepas didakwa dibunuh dan dikerat isterinya, Marina Kukha di depan anak lelaki mereka berusia dua tahun di St Petersburg.

Sesetengah laporan mendakwa ibu wanita itu turut terbabit dalam pembunuhan lelaki berusia 30 tahun itu dengan pasukan penyiasat tidak membenarkan dia meninggalkan bandar itu.

Dalam pengakuannya, Kukha memberitahu detektif dia tidak mahu peminat suaminya mengetahui bahawa lelaki itu mati disebabkan pengambilan dadah berlebihan yang digambarkan sebagai kematian ‘mengaibkan’.

Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu pegawai, dia menggunakan pisau, tukul, gergaji besi, mangkuk plastik serta papan pemotong untuk menghancurkan mayatnya dalam tempoh empat hari.

Kukha mendakwa, dia membersihkan organ dalaman lelaki itu menggunakan mesin basuh sebelum meletakkan garam dan menyimpannya dalam peti sejuk.

Polis Russia membuka kertas siasatan kes pembunuhan bintang berkenaan yang menggunakan nama asalnya Alexander Yushko dari Ukraine.

Wanita itu ditahan dan dijangka menjalani ujian poligraf sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan manakala ujian forensik sedang dilaksanakan untuk menentukan punca kematian.