Kerja gila dua beranak

Chicago: Seorang wanita sanggup membunuh teman lelaki demi memenuhi hasrat untuk mengahwini bapa kandungnya sendiri.

Namun, tindakan kejam Amanda McClure, 31, mendapat balasan apabila dia dihukum penjara 40 tahun selepas mengaku bersalah atas perbuatan itu.

Dia dijangka menghabiskan sekurang-kurangnya separuh daripada hayatnya di dalam penjara.

Amanda dituduh membunuh teman lelakinya John McGuire, 38, di Minnesota, Februari tahun lalu.

Bapanya, Larry McClure Sr, 55, sebelum ini sudah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Ogos lalu atas kesalahan membunuh lelaki itu.

Wanita terbabit membantu membunuh mangsa bagi membolehkan dia dan bapanya hidup bersama.

Media tempatan melaporkan dua beranak itu sudah berkahwin di sebuah gereja namun si bapa menggunakan nama lelaki lain dalam dokumen perkahwinan mereka.

Dalam pada itu, Amanda memberi keterangan di mahkamah menerusi sidang video, Khamis lalu.

“Kejadian ini bukan saja mengecewakan keluarga John, tetapi keluarga saya juga.

“John seorang lelaki yang baik dan saya berharap dapat bersamanya semula,” katanya.