Kes pertama Korea Utara?

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Utara melaksanakan perintah berkurung di bandar sempadan Kaesong selepas mengesan kes pertama Covid-19 di negara berkenaan, lapor media negara itu.

Pemimpinnya, Kim Jong Un dikatakan mengadakan mesyuarat kecemasan biro politik negara itu pada Sabtu untuk melaksanakan ‘sistem kecemasan maksimum dan amaran kelas tertinggi’ untuk mengekang wabak berkenaan, kata agensi media rasmi KCNA.

Sekiranya benar, ia menjadi kes pertama Covid-19 di Korea Utara di mana infrastruktur kesihatannya dilihat tidak mencukupi untuk mengawal penularan wabak berkenaan yang sudah meragut ratusan ribu nyawa di seluruh dunia.

KCNA berkata, individu yang dijangkiti itu pergi ke Korea Selatan tiga tahun lalu dan kembali semula pada 19 Julai lalu selepas ‘menyeberang secara haram’ kawasan sempadan yang memisahkan dua negara berkenaan.

Namun, tiada sebarang laporan di Korea Selatan yang memaklumkan ada individu yang meninggalkan negara itu menerusi antara kawalan sempadan paling ketat di dunia yang dikelilingi pos pengawal.

Pyongyang sebelum ini mendakwa tiada kes Covid-19 dilaporkan di negara itu di sebalik penularan wabak yang sudah menjejaskan seluruh dunia dengan sempadan negara itu masih lagi ditutup.

Pesakit terbabit dikesan di Bandar Kaesong yang bersempadan dengan Korea Selatan dan kini diletakkan di bawah pengawasan kuarantin ketat termasuk kontak rapat, kata KCNA.