Kesudahan penyeksa

PHNOM PENH: Bekas guru yang menjadi ‘penyeksa utama’ pembunuhan beramai-ramai pada era rejim Khmer Rouge di Kemboja, yang menjadi saksi kematian sekitar 15,000 orang, meninggal dunia semalam pada usia 77 tahun.

Kaing Guek Eav, yang lebih dikenali dengan nama samaran Duch, menjadi ketua penjara Tuol Sleng dan kemudiannya didakwa atas kesalahan jenayah kemanusiaan.

Dilahirkan pada 1942, bekas guru Matematik itu menjadi penyiasat tertinggi Khmer Rouge ketika rejim ultra-Maois berkuasa dari 1975 hingga 1979.

Duch menyaksikan penyeksaan terhadap ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak di sekolah yang diubah menjadi pusat tahanan, mendapatkan pengakuan palsu daripada mangsanya dan menghantar mereka untuk dibunuh di pinggir ibu kota Phnom Penh.

Selepas regim Khmer Rouge tumbang, dia mempertahankan posisi dalam gerakan komunis ketika melawan pasukan yang dibantu Vietnam.

Dia memeluk agama Kristian pada tahun terakhirnya dan bekerja untuk agensi bantuan di Kemboja barat menggunakan nama palsu ketika ditangkap pada 1999, di saat ramai menganggap dia sudah mati.

Duch anggota pertama Khmer Rouge yang dihadapkan ke muka pengadilan bagi jenayah perang di Kemboja, dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2012.

Kematiannya, ‘peringatan keadilan melalui proses yang panjang dan sukar’, kata Youk Chhang, Pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja, yang melakukan penyelidikan mengenai rejim Khmer Rouge.

“Mungkin itu dapat memberi kepuasan kepada orang yang masih hidup, dan mangsanya dapat bersemadi dengan tenang,” kata Youk.

Duch dilaporkan sering masuk dan keluar dari hospital selama bertahun-tahun dan mengalami masalah pernafasan serius sebelum akhir hayatnya.