Kim Jong Un kini koma?

Pyongyang: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dipercayai berada dalam keadaan koma dan adiknya, Kim Yo Jong kini mengambil alih tugas mentadbir negara.

Hindustan Times melaporkan, beberapa media Korea Selatan melaporkan berita itu dengan memetik kenyataan bekas pembantu bekas presiden negara itu, Kim Dae Jung iaitu Chang Song Min.

Chang yang berkhidmat dengan Dae Jung sebagai setiausaha hal ehwal politik menerusi hantaran di laman sosial menyatakan tidak ada pemimpin Korea Utara yang akan mempercayai orang lain sewenang-wenangnya melainkan jika terlalu sakit untuk memerintah atau disingkirkan melalui rampasan kuasa.

“Saya mengesyaki dia (Jong Un) berada dalam keadaan koma.

“Pelan peralihan kuasa belum dibentuk, jadi Yo Jong dibawa ke depan kerana jawatan penting itu tidak boleh dibiarkan kosong untuk terlalu lama,” katanya kepada The Korea Herald.

Chang mendakwa menerima maklumat Jong Un sedang koma daripada sumbernya di China.

Dakwaan Chang itu susulan pemimpin Korea Utara itu sudah lama tidak di khalayak umum.

Spekulasi mengatakan kesihatannya diktator Korea Utara itu semakin merosot.

Kali terakhir Jong Un dilihat di khalayak umum adalah ketika mempengerusikan mesyuarat parti pada 11 April.

Pemimpin itu kemudian dilihat memotong reben sempena pada pembukaan kilang baja di negara itu pada 2 Mei, lapor agensi Korea Utara, KCNA.

Bagaimanapun, Chang mendakwa semua gambar Jong Un yang dikeluarkan oleh Korea Utara dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah palsu.