Kluster rumah sakit merisaukan

Jakarta: Indonesia yang terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 kini berdepan masalah munculnya kluster hospital atau digelar Kluster Rumah Sakit di mana banyak kes jangkitan berlaku membabitkan petugas kesihatan.

Ia dicatatkan berlaku di beberapa kawasan di Jakarta.

Jurucakap Pasukan Khas Menangani Covid-19, Prof Wiku Adisasmito berkata, sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan jangkitan di hospital di beberapa daerah.

“Kakitangan hospital perlu menjaga disiplin protokol kesihatan bagi memastikan langkah pencegahan dapat dijalankan dengan sempurna,” katanya.

Menurutnya, ibu kota Jakarta adalah antara lokasi yang dikesan wujudnya kluster hospital.

“Selain Jakarta, daerah lain yang turut mencatatkan kluster hospital adalah Jawa Timur dan Yogyakarta. Malah, di Jakarta saja beberapa lokasi dikesan timbulnya kluster ini,” katanya seperti dilaporkan Detik News.

Wiki berkata, hospital diibaratkan seperti jantung dan sekiranya virus berkenaan ‘menyerang’ organ penting itu, ia bermakna keadaan boleh dikatakan bahaya dan membimbangkan.

“Rumah sakit (hospital) adalah jantung. Jadi, bayangkan jika virus ada di situ. Jika virus berada di tangan atau kaki, keadaan masih tidak berbahaya.

“Tapi, jika menyerang jantung, ia adalah pertahanan kita yang terakhir,” katanya.

Katanya, petugas hospital perlu menerapkan disiplin tinggi dan memastikan rehat mencukupi untuk menangani pesakit dengan profesional.

“Semua pihak perlu sentiasa berhati-hati. Bukan kakitangan hospital saja yang perlu dijaga, malah kemudahan dan peralatan di situ juga harus dipastikan bersih,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menggesa pengurusan hospital untuk melakukan pemeriksaan rutin dalam kalangan kakitangan.