Konflik Nagorno-Karabakh: Putin dakwa hampir 5,000 terkorban

Moscow: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis berkata, hampir 5,000 orang terkorban dalam pertempuran yang sudah berlarutan lebih tiga minggu antara tentera Armenia dan Azerbaijan berhubung pertikaian wilayah Nagorno-Karabakh.

“Berdasarkan data kami, angka kematian pada dua pihak, masing-masing 2,000 orang, menjadikan jumlah korban keseluruhan sudah menghampiri 5,000,” kata Putin menerusi satu penampilan di televisyen.

Pertempuran tercetus antara kumpulan pemisah Armenia yang menguasai wilayah Karabakh di Azerbaijan dan tentera pada akhir bulan lalu dan terkini, angka rasmi mangsa yang terkorban dikatakan bawah 1,000 orang.

Kedua pihak berkata, mereka mahu terus berjuang dan tidak mengendahkan usaha antarabangsa untuk gencatan senjata.

Dua perjanjian berkenaan sebelum ini ‘terbatal” hampir serta-merta selepas kedua pihak saling menuduh masing-masing melanggar syarat untuk menghentikan serangan.

Menteri luar Azerbaijan dan Armenia, masing-masing dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo di Washington, pada Jumaat.

Putin pada Khamis berkata, dia kini berkomunikasi secara berterusan dengan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan dan Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

“Saya bercakap dengan kedua-dua mereka hampir setiap hari,” kata Putin dalam ucapan secara maya dengan ahli sebuah forum pemikir di Moscow, Valdai Discussion Club.

Aliyev sebelum ini memberitahu tentera Azerbaijan sudah menguasai sepenuhnya kawasan sempadan yang berjiran dengan Iran.

Beliau memperkuat tindakan ketenteraan sejak pertempuran itu tercetus pada 27 September dan pada Rabu, Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan mengakui bahawa pihaknya berdepan dengan situasi sukar di barisan hadapan.