Kontroversi Cuties: Pengguna mahu boikot Netflix

Los Angeles: Ribuan orang melancarkan kempen untuk memboikot Netflix kerana menyiarkan filem Perancis Mignonnes, atau judul Bahasa Inggerisnya, Cuties.

RTE melaporkan ia selepas filem berkenaan didakwa memaparkan pelakon muda yang melakukan aksi mengghairahkan.

Filem itu diarahkan oleh pengarah berketurunan Perancis-Senegal Maimouna Doucoure, dan mula disiarkan menerusi platform Netflix pada 9 September.

Ketika ini, lebih 200,000 ciapan dengan tanda pagar #CancelNetflix menjadi trending, semalam.

Filem itu yang memaparkan kisah kanak-kanak perempuan Perancis bernama Amy yang berdepan dengan peraturan ketat oleh keluarganya yang berketurunan Senegal.

Selain itu, dia berdepan dilema dengan pengaruh media sosial berhubung kepentingan menjaga penampilan diri.

Budak itu dan tiga lagi kanak-kanak di kejiranannya menyertai satu kumpulan tarian.

Bagaimanapun, aksi mereka dikatakan keterlaluan.

Filem itu menggondol anugerah pengarah di Festival Filem Sundance.