Korea Selatan kekal penjarakan sosial tahap dua

Seoul: Korea Selatan mengekalkan penjarakan sosial pada Tahap Dua di Seoul dan kawasan sekitarnya untuk seminggu lagi bermula Ahad, walaupun kawasan itu mencatatkan lonjakan jangkitan Covid-19 baru-baru ini, kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun pada Jumaat.

“Kerajaan akan melanjutkan peraturan penjarakan sosial yang dijadual berakhir hujung minggu ini kepada seminggu lagi,” kata beliau lapor agensi berita Yonhap.

Terdapat permintaan supaya penjarakan sosial ditingkatkan ke Tahap Tiga, namun ia adalah ‘pilihan terakhir mengambil kira kesan ekonomi dan sosial’.

Kerajaan akan membincangkan kaedah untuk memperketat langkah kuarantin, termasuk mengehadkan waktu perniagaan restoran atau kafe, kata Chung.

Perdana Menteri menggesa gereja Protestan untuk menghentikan sementara upacara keagamaan dan mengarahkan ‘penguatkuasaan undang-undang bertindak tegas’.

Pada Khamis, Korea Selatan melaporkan 441 kes baharu Covid-19, pertama kali jumlah jangkitan harian meningkat lebih 400 dalam masa hampir enam bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19