Korea Selatan kembali catat kes jangkitan tiga angka

Seoul: Korea Selatan kembali melaporkan kes jangkitan Covid-19 tiga angka dalam tempoh enam hari.

Sebanyak 102 kes jangkitan baharu dilaporkan semalam, meningkat sedikit daripada 97 kes pada hari sebelumnya.

Korea Selatan kini mempunyai sejumlah 24,805 kes Covid-19 dan jumlah kematian sebanyak 434, menurut Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Arirang News melaporkan, peningkatan itu disebabkan oleh lonjakan kes import baru-baru ini, seiring dengan peningkatan jangkitan di seluruh dunia, yang mana sebilangan besar kes diimport adalah dari Rusia sebanyak 14 kes, diikuti Jepun (5) dan Nepal (4).

Jangkitan harian sebahagian besar menurun kepada dua angka dalam tempoh dua minggu lalu, yang menyebabkan kerajaan melonggarkan beberapa peraturan mengenai penjarakan fizikal minggu ini.

Sekatan yang dilonggarkan itu bermaksud kemudahan hiburan seperti kelab malam dan bar karaoke boleh dibuka semula dan penonton terhad dibenarkan di pertandingan sukan seperti Liga Besbol Korea, asalkan garis panduan keselamatan Covid-19 dipatuhi.

Beberapa peraturan yang lebih ketat akan dikekalkan di Seoul dan tempat berisiko tinggi, termasuk perhimpunan keagamaan dan perniagaan jualan dari pintu ke pintu.

Awal bulan ini, Jepun dan Korea Selatan bersetuju untuk memulakan semula perjalanan antara kedua-dua negara untuk pelancong perniagaan jangka pendek dan jangka panjang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19