Korea Utara anjur perarakan ketenteraan besar-besaran

Seoul: Lapan bulan selepas kawalan pergerakan yang ketat termasuk penutupan sempadan, Korea Utara bakal mengadakan upacara perarakan ketenteraan besar-besaran di Pyongyang, Sabtu ini.

Acara itu akan menampilkan aset tentera terkini yang dimiliki negara itu dan diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-75 parti pemerintah, Parti Pekerja.

Berdasarkan imej satelit daripada laman web 38North, sambutan itu akan diadakan dalam skala yang besar.

“Adalah jelas (Korea Utara) merancang untuk mengadakannya secara besar-besaran,” kata bekas Komander Tentera AS di Korea (USFK), Vincent Brooks kepada pada persidangan Atlantic Council.

Ribuan askar dijangka berkawad melepasi Dataran Kim Il Sung yang dinamakan sempena pengasas Korea Utara.

Ia bakal menyaksikan aset tentera seperti kereta kebal dan kereta perisai serta peluru berpandu yang dimiliki Pyongyang.

Rundingan antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) kini seakan tergantung selepas sidang kemuncak dua negara di Hanoi, Februari tahun lalu.

Pada masa sama, Korea Utara dipercayai meneruskan pembuatan senjatanya yang didakwa sebagai langkah bagi melindungi negara itu daripada penaklukan AS.

Pemimpin negara itu, Kim Jong Un pada tahun lalu pernah mengancam untuk melakukan demonstrasi ‘senjata api strategik baharu’.

Penganalisis meramalkan bahawa peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam itu mampu mencapai sasaran di AS.

Bagaimanapun, Korea Utara dikatakan dikatakan tidak akan melakukan apa yang digelar sebagai ‘Kejutan Oktober’ itu, ketika kempen pemilihan presiden hangat berlangsung di AS.

Dalam pada itu, Korea Utara sudah menutup sempadannya dengan China sejak Januari bagi mengekang penularan Covid-19.

Sehingga kini, negara itu tidak mempunyai kes positif virus berkenaan.