Kreatif guna batang paip jaga jarak jual susu

NEW DELHI: Demi menjaga jarak sosial dengan pelanggan, seorang penjual susu di India mengetengahkan idea kreatif menerusi penggunaan corong dan batang paip sebagai alat menuang minuman itu.

Gulf News melaporkan, gambar berkenaan mendapat perhatian hingga tular di media sosial selepas dikongsikan seorang pegawai pentadbiran, Awanish Sharan.

Gambar itu menunjukkan peniaga yang memakai topi keledar dan duduk di atas motosikal menuang susu menerusi corong.

Dia juga kelihatan memakai pelitup muka dan sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang pelanggan dilihat mengambil susu yang keluar dari batang paip yang disambung dengan corong itu, pada bahagian belakang motosikal.

Berdasarkan nombor pendaftaran motosikal, gambar berkenaan dipercayai diambil di Madhya Pradesh.

Rata-rata warganet menghargai kreativiti dan usaha peniaga berkenaan kerana menjaga keselamatan dirinya dan orang sekeliling.

Seorang pengguna Twitter dikenali Nitinsangwan memuji idea peniaga berkenaan dan berharap ia menjadi ikutan orang lain.

“Bagus apabila melihat segelintir individu mengambil langkah bagi melindungi diri dan keselamatan orang lain.

“Ayuh, duduk di rumah, pakai pelitup muka dan jaga jarak sosial walaupun kita tidak dapat tampil dengan idea inovatif seperti peniaga berkenaan,” ciapnya.