Kultus seks: lelaki dijel 120 tahun

New York: Seorang lelaki dipenjara 120 tahun oleh sebuah mahkamah di sini, selepas didapati bersalah mewujudkan kultus perhambaan seks dinamakan sebagai Nxivm yang membabitkan lebih 20 wanita.

Keith Raniere, 60, dijatuhi hukuman itu pada Selasa selepas dia sebagai pemimpin kumpulan itu didapati bersalah memaksa wanita melakukan hubungan seks dengannya.

Nxivm yang disebut sebagai Nexium diasaskan oleh lelaki itu pada 1998 sebagai kumpulan yang menawarkan kursus kemajuan diri dan menarik minat individu kaya dan terkenal.

Setiap pengikutnya perlu membayar sehingga AS$5,000 (kira-kira RM28,840) untuk yuran kursus lima hari, tetapi ada antara mereka yang kemudian dieksploitasi dari segi kewangan dan seksual.

Selain itu, individu terbabit perlu mengikut diet ketat yang dikawal oleh Raniere yang juga dikenali sebagai ‘Vanguard’ dalam kalangan pengikutnya.

Lelaki juga mewujudkan bahagian dalam kumpulan itu dikenali sebagai DOS, satu struktur piramid di mana kedudukan wanita adalah sebagai hamba dan lelaki itu sebagai ketua berada di puncak piramid.

Hamba berkenaan diarahkan untuk mengadakan hubungan seks dengan Raniere, di samping perlu menyerahkan maklumat peribadi dan gambar lucah kepada lelaki terbabit.

Selain itu, ada antara pengikut wanita itu dilayan seperti haiwan ternakan dan dikawal oleh ahli kumpulan lain.

Raniere didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pada Jun 2019 termasuk memperdayakan mangsa, pemerdagangan seks, peras ugut, konspirasi jenayah dan melakukan eksploitasi seksual terhadap mangsa termasuk remaja perempuan berusia 15 tahun.

“Saya hanya kanak-kanak. (Dia) merompak zaman remaja saya,” kata mangsa berkenaan dalam kenyataan impak mangsanya.

Pada prosiding Selasa lalu, seramai 15 orang termasuk 13 wanita tampil di mahkamah, manakala lebih 90 mangsa lain menulis surat kepada kepada Hakim Nicholas Garaufis.

Raniere yang ditahan di Mexico pada 2018, menukar kursus berkenaan kepada sesi seks dengan menjadi ketua kepada subkumpulan membabitkan 20 wanita, dengan paling muda berusia 15 tahun

Jenayah yang dilakukan lelaki itu menjadi subjek kepada penerbitan dua siri adaptasi termasuk The Vow yang diterbitkan HBO, dan disiarkan baru-baru ini, dan Escaping the Nxivm Cult, filem pada 2019 yang memaparkan perjuangan seorang ibu yang menyelamatkan anaknya daripada organisasi berkenaan.

Sebelum ini, lima individu lain turut didakwa dan semuanya mengaku bersalah.

Antaranya, pelakon wanita Amerika Syarikat kelahiran Jerman, Allison Mack yang popular dengan wataknya dalam siri televisyen Smallville yang mengaku salah pada April 2019 atas dua kesalahan melakukan penipuan.

Selain itu, waris kepada syarikat arak Kanada, Seagram, Clare Bronfman, juga dipenjara lebih enam tahun selepas mengaku salah menyalurkan dana kepada kumpulan berkenaan.