Kura-kura albino

KOLKATA: Seorang petani di timur India terkejut selepas menemui seekor kura-kura berwarna keemasan yang dianggap seperti albino oleh beberapa pakar.

Basudev Mahapatra menemui kura-kura itu ketika bekerja di ladangnya di sebuah kampung di Sunjanpur, daerah Odisha Balasore.

Dia kemudian membuat keputusan untuk membawa pulang haiwan itu, kata pegawai perhutanan Susanta Nanda kepada CNN pada Selasa.

Mahapatra menemui kura-kura itu pada Ahad lalu sebelum menyerahkan kepada pegawai perhutanan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemuliharaan haiwan.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pemuliharaan Biodiversiti Siddhartha Pati berkata, ini adalah kali pertama kura-kura berwarna sedemikian ditemui di India.

Beliau menjelaskan, warna haiwan itu disebabkan masalah pigmentasi tyrosine dan menjadikan warna haiwan itu berbeza.

“Selain itu, masalah mutasi dalam genetik haiwan juga boleh menjadi penyebab kepada kekurangan tyrosine.

“Haiwan itu sudah dilepaskan ke habitat asalnya di Balasore,” katanya seperti dilaporkan portal wyff4.com.

Kura-kura itu dikenal sebagai India Flapshell dipercayai berusia antara satu hingga dua tahun.

“Kami sering menemui haiwan ini dan ketam namun melepaskan kembali ke dalam air. Tetapi ini adalah kali pertama di Odisha dan kali kedua di India bahawa seekor kura-kura albino dijumpai,” katanya.

Haiwan ini sering ditemui di Pakistan, Sri Lanka, India, Nepal, Bangladesh dan Myanmar dari keluarga omnivor kerana dikatakan memakan katak, siput dan beberapa tumbuh-tumbuhan akuatik.