Kurung anak biarkan kelaparan lapan hari

Moscow: Seorang ibu di Peredelkino di sini, tergamak mengurung dan membiarkan anaknya kelaparan selama lapan hari.

Mikhail, 10, ditinggalkan ibunya, Natalya Azarenkova, 31, seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa.

Selepas empat hari ditinggalkan ibunya, kanak-kanak itu menjerit meminta bantuan jirannya dari apartmen didiaminya akibat kelaparan.

Menurut kanak-kanak itu, dia dikunci dari luar dan ibunya hanya meninggalkan beras.

Bekalan elektrik dan air dipotong membuatkan kanak-kanak itu tidak dapat memasak untuk mengalas perutnya sepanjang ketiadaan ibunya.

Dia turut merayu sambil menangis jangan hubungi pihak berkuasa bimbang tidak dapat bertemu dengan ibunya lagi.

Jiran yang bersimpati dengan nasib Mikhail, menghulurkan makanan dan jus melalui balkoni.

Namun, apabila ibunya tidak muncul keesokannya, jiran itu menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

“Saya tak boleh bayangkan macam mana kanak-kanak itu boleh bertahan di sana.

“Banyak lipas, lalat dan bau kurang menyenangkan dalam rumah itu,” kata jirannya, Dmitry yang dilaporkan portal Daily Star.

Polis menahan wanita itu ketika berjalan bersama anjingnya, manakala Mikhail dihantar ke hospital untuk rawatan.

Dalam pengakuannya, wanita itu mengaku mengurung anaknya, namun gagal memberikan alasan kukuh meninggalkan anaknya dalam tempoh itu.

Azarenkova berdepan hukuman penjara dan hilang hak jagaan terhadap anaknya, menurut laporan yang memetik penguat kuasa.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu meninggal dunia dua tahun lalu.