Kurusnya harimau!

Jakarta: Satu video tular di media sosial memaparkan seekor harimau yang terlalu kurus di sebuah zoo di Indonesia.

Portal Kompas melaporkan haiwan itu adalah antara tarikan pengunjung ke Zoo Maharani di Jawa Timur.

Koordinator pemasaran zoo berkenaan, Juli Tri Wahyuningtyas mengesahkan bahawa video berkenaan adalah harimau Sumatera di zoo itu.

Bagaimanapun katanya, saiz haiwan itu berbeza dengan harimau spesies lain.

“Harimau Sumatera lazimnya lebih kurus, ia tidak sebesar harimau jenis lain.

“Mungkin jarak antara kedudukan individu yang merakam video itu juga jauh dengan haiwan berkenaan menyebabkan ia nampak amat kurus,” katanya.

Selain itu katanya, usia harimau berkenaan juga sudah tua iaitu lebih 10 tahun.