Lagi serangan roket di Zon Hijau

Baghdad: Serangan roket dilancarkan ke Zon Hijau, yang menjadi lokasi Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini,

Ia adalah serangan kali kelima dalam tempoh 10 hari, menurut pihak keselamatan.

Wartawan AFP mendengar sekurang-kurangnya tiga letupan, diikuti dengan bunyi siren di Zon Hijau.

Bagaimanapun, masih belum ada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa.

Seperti serangan sebelumnya, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sejak Oktober, sekurang-kurangnya 32 serangan menyasarkan kepentingan AS di Iraq.

AS mendakwa ia didalangi kumpulan dalam pasukan keselamatan Iraq yang disokong oleh Iran.

Ini adalah serangan roket kedua berhampiran Kedutaan AS sejak 8 Jun, manakala serangan lain menyasarkan lapangan terbang Baghdad yang turut menempatkan tentera AS dan pangkalan di utara ibu negara ini.

Ketegangan antara Washington dan Tehran memuncak sejak Januari selepas AS membunuh jeneral Iran Qasem Soleimani dan komander Iraq Abu Mahdi al-Muhandis dalam serangan dron di sini.

Sejak itu, Iraq juga mempunyai Perdana Menteri yang mesra AS dan ia menyaksikan siri serangan roket, dalam beberapa bulan lalu.

Washington sebelum ini sudah berikrar untuk mengurangkan jumlah tenteranya di negara ini, yang pada tahun lalu berjumlah 5,200 orang.

Susulan serangan dron pada Januari, Parlimen Iraq sudah mengundi untuk mengusir semua tentera asing di negara itu.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak dilaksanakan sehingga kini.