Lampu jalan pengecas bateri telefon

Beijing: Lampu jalan di Wuhan berfungsi dua dalam satu apabila bukan saja menerangi persekitaran, malah dijadikan pengecas bateri telefon tanpa wayar.

Ia memberikan kemudahan kepada penduduk setempat dan pelancong mengecas telefon bimbit mereka.

Dengan hanya meletakkan telefon di atas ruang disediakan, orang ramai di kawasan itu tidak perlu khuatir kehabisan bateri atau perlu menggunakan pengecas telefon bimbit.

Global Times melaporkan kemudahan itu menjadi tarikan bagi pelancong mengunjungi wilayah itu dan mencuba teknologi canggih berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelakkan telefon mereka dicuri ketika ia dicaj di lampu berkenaan.

Setakat ini, ada 60 lampu jalan di Wuhan yang dilengkapi pengecas tanpa wayar.

Setiap satunya mempunyai dua port pengecas tanpa wayar yang memudahkan sesiapa saja menggunakannya.

“Ia pengecas berkelajuan tinggi. Telefon dicas sehingga 60 hingga 70 peratus dalam tempoh antara 15 hingga 20 minit,” kata kakitangan pembinaan.