Lapan polis maut, empat cedera ditembak penjenayah dikehendaki

Agensi

Kanpur: Sekurang-kurangnya lapan pegawai dan anggota polis Uttar Pradesh, termasuk Deputi Superintendan polis maut dalam satu serbuan di sini, awal pagi hari ini.

Menurut polis, empat lagi anggota cedera dan kini dirawat di hospital.

Indiatoday melaporkan, kejadian berlaku apabila pasukan polis cuba menahan Vikas Dubey, penjenayah paling dikehendaki yang mempunyai 60 rekod jenayah, di Kampung Dikru di bawah pentadbiran balai polis Chaubeypur pada malam Khamis, kata polis.

Ketika pasukan polis hampir tiba di tempat persembunyian penjenayah ditakuti itu, mereka dihujani peluru dari bumbung bangunan.

Kejadian itu menyebabkan Deputi Superintendan Devendra Mishra, tiga sub inspektor dan empat konstabel maut, kata pegawai.

Devendra Mishra, antara pegawai polis yang maut. FOTO Agensi.
Devendra Mishra, antara pegawai polis yang maut. FOTO Agensi.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Ketua Pengarah Polis Uttar Pradesh, Awasthi berkata, penjenayah mungkin mendapat maklumat awal mengenai serbuan itu.

“Mishra dan anggotanya melakukan sekatan jalan untuk mengelakkan anggota polis bergerak ke tempat persembunyian mereka.

“Ketika pasukan polis tidak sedar, penjenayah melepaskan tembakan dari atas bumbung yang menyebabkan kematian mereka,” kata Awasthi.

Dubey didakwa membunuh seorang menteri pada zaman pemerintahan kerajaan Rajnath Singh, Santosh Shukla pada 2001, dalam Balai Polis Shivli.

Menurut sumber, Dubey mempunyai kira-kira 57 rekod jenayah