Lapan tentera AS maut akibat Covid-19

Washington: Pentagon memaklumkan kematian kelapan akibat Covid-19 dalam kalangan anggota tentera Amerika Syarikat (AS), menurut laporan agensi berita Xinhua.

Kematian itu adalah jumlah terbaru kes virus itu, yang dikemas kini Pentagon berkaitan anggotanya.

Identiti anggota tentera itu tidak didedahkan tetapi individu berkenaan dilaporkan berkhidmat dengan angkatan tentera simpanan AS.

Kematian tentera AS terakhir sebelum ini akibat virus itu dilaporkan pada akhir Ogos lalu.

Pentagon melaporkan sejumlah 65,657 kes Covid-19 berkaitan dengan jabatan itu, termasuk 45,246 kes membabitkan anggota perkhidmatan; 10,109 kes dalam kalangan orang awam; 6,034 kes individu di bawah tanggungan dan 4,268 kes membabitkan kontraktor.

Terdapat 59 kematian orang awam, tujuh kematian individu di bawah tanggungan dan 22 kematian kontraktor.

Sejumlah 30,450 selesai menjalani pemulihan dan 613 lagi dimasukkan ke hospital disebabkan pandemik itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19