Lebih 10,000 kes Covid-19 dalam 24 jam di Rusia

Moscow: Rusia mencatatkan lebih 10,000 kes dalam tempoh 24 jam untuk empat hari berturut-turut, menjadikan ia kini melepasi Jerman untuk angka tertinggi kes jangkitan Covid-19 di Eropah.

Pegawai kesihatan melaporkan, Rusia mencatatkan 10,559 kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes 165,929, dengan 1,537 kematian.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Rusia meningkat melebihi angka 10,000 sehari sejak Ahad lalu, menimbulkan tanda tanya memandangkan negara di timur Eropah mula melonggarkan sekatan kerana jumlah kes harian yang terus menurun.

Ketika ini, tempoh kuarantin masih berlangsung sehingga 11 Mei dan sama ada ia akan disambung atau dihentikan bergantung keadaan beberapa negara berhampiran.

Presiden Vladimir Putin hari ini mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan keadaan semasa yang berlaku di Rusia.

Moscow yang menjadi pusat wabak di Rusia mencatatkan 85,973 kes dan 866 kematian.

Walaupun jumlah kes jangkitan yang tinggi, namun jumlah kematian yang direkodkan masih rendah berbanding Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19