Lebih 100,000 korban Covid-19 di India

New Delhi: Jumlah kematian akibat Covid-19 di India melepasi 100,000 orang ketika pandemik itu terus pantas menular di negara yang berpenduduk kedua tertinggi di dunia itu.

Data Kementerian Kesihatan India merekodkan 100,875 kematian, meletakkan negara itu di tempat ketiga di dunia dari segi jumlah kematian akibat virus itu selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

India turut merekodkan 6.47 juta kes jangkitan wabak itu dan dijangka melepasi AS sebagai negara mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Penduduk India yang mencecah 1.3 bilion, empat kali lebih besar berbanding AS yang mencatatkan jumlah kematian dua kali ganda lebih banyak, mencetuskan persoalan mengenai kesahihan data rasmi India.

Pakar virologi, T Jacob John, memberitahu AFP bahawa pihaknya tidak pasti dengan kesahihan kadar kematian di India.

“India tidak memiliki sistem pemantauan kesihatan awam yang merekodkan penyakit dan kematian pada waktu sebenar manakala ujian yang dijalankan juga tidak dibuat secara meluas,” katanya.

Walaupun India melaksanakan kira-kira sejuta ujian saringan sehari, kadarnya masih rendah berbanding negara lain berdasarkan jumlah penduduknya yang tinggi.

Sebagai contoh, AS membuat ujian saringan lima kali ganda lebih banyak berbanding India berdasarkan statistik laman sesawang Worldometer.

Angka sebenar di India dipercayai mungkin lebih tinggi berbanding data rasmi berdasarkan beberapa kajian yang mengukur antibodi terhadap virus itu dalam kalangan penduduk.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19