Lebih empat bilion individu berpotensi gemuk menjelang 2050

Paris: Lebih empat bilion individu berpotensi memiliki berat badan berlebihan pada 2050, dengan 1.5 bilion daripadanya berdepan masalah obesiti sekiranya trend diet semasa global yang menggalakkan makanan diproses berterusan.

Pakar dari Potsdam Institute for Climate Impact Research (PIK) berkata, permintaan makanan global mungkin meningkat sehingga 50 peratus menjelang pertengahan abad, melebihi kapasiti Bumi untuk mengekalkan alam semula jadi.

Pengeluaran makanan sudah mencapai tiga perempat dari air tawar dunia dan satu pertiga dari daratannya serta menyumbang hingga satu pertiga pelepasan gas rumah kaca.

Memberikan gambaran jangka panjang mengenai perubahan tabiat makan global antara tahun 1965 dan 2100, penyelidik menggunakan model sumber terbuka untuk meramalkan bagaimana permintaan makanan akan bertindak balas terhadap pelbagai faktor seperti pertumbuhan populasi, penuaan, pertumbuhan massa badan, penurunan aktiviti fizikal dan peningkatan sisa makanan.

Ia mendapati bahawa “perniagaan seperti biasa” – kesinambungan dari trend semasa – kemungkinan akan menyaksikan lebih dari empat bilion individu, atau 45 peratus penduduk dunia, memiliki berat badan berlebihan pada tahun 2050.

Model itu meramalkan bahawa 16 peratus akan mencapai obesiti, berbanding sembilan peratus pada masa ini di kalangan 29 peratus penduduk yang mempunyai berat badan berlebihan.

“Peningkatan pembaziran makanan dan penggunaan protein haiwan bermaksud bahawa kesan persekitaran sistem pertanian kita akan menjadi tidak terkawal,” kata Benjamin Bodirsky, pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Nature Scientific Reports.

“Sama ada gas rumah hijau, pencemaran nitrogen atau penebangan hutan: kita mungkin melampaui had planet kita,” katanya.

Walaupun kecenderungan berbeza antara satu kawasan, penyelidik berpendapat bahawa tabiat makan global beralih dari diet berasaskan tumbuhan dan kanji ke arah “makanan tinggi gula, lemak, dan makanan sumber haiwan, serta produk makanan diproses”.

Pada masa sama, kajian mendapati bahawa sebagai akibat dari peningkatan ketaksamaan antara sisa makanan dan kehilangan makanan iaitu makanan yang dihasilkan tetapi tidak dimakan kerana kekurangan tempat penyimpanan atau pembelian berlebihan, sekitar setengah bilion orang masih akan kekurangan gizi pada pertengahan abad.

“Terdapat cukup makanan di dunia namun, masalahnya ialah orang miskin di planet kita tidak mempunyai pendapatan untuk membelinya,” kata pengarang bersama Prajal Pradhan.

“Dan di negara-negara kaya, mereka tidak merasakan kesan ekonomi dan persekitaran akibat pembaziran makanan,” katanya.