Lelaki 91 tahun terselamat kemalangan luncur udara

Sydney: Seorang lelaki warga emas di Australia bernasib baik apabila terselamat selepas terbabit dalam kemalangan luncur udara (paragliding).

Lelaki berusia 91 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan selepas jatuh ke dalam laut berhampiran sebuah pantai di utara Sydney.

Menurut polis, mangsa diselamatkan penduduk tempatan selepas terjatuh di Warriewood kira-kira 6 petang, Ahad.

Pasukan kecemasan yang dihubungi turun ke lokasi kejadian dan mengesahkan lelaki itu hanya mengalami luka dan lebam.

Rakaman laporan media tempatan menunjukkan warga emas yang tidak dinamakan itu berjalan melintasi batu dengan kaki kirinya dibalut dengan bantuan pasukan penyelamat.

Warga emas itu dibawa ke Hospital Sydney Royal North Shore untuk rawatan lanjut.